Jika disoroti daripada perspektif sejarah, rakyat Kelantan telah memilih PAS semasa PRU 1959 lagi. PRU yang pertama setelah negara mencapai kemerdekaan tatkala hampir keseluruhan rakyat di negeri-negeri lain (kecuali Terengganu) memilih Perikatan sebagai kerajaan negeri. Rakyat Kelantan sanggup menjadikan PAS sebagai kerajaan negeri walaupun menyedari aspek pemodenan, kemajuan negeri, kesejahteraan rakyat melalui projek pembangunan seharusnya menjadi keutamaan pada masa tersebut.
PAS terus memerintah Kelantan selepas PRU 1964, 1969, 1974 (menyertai BN) namun tewas pada PRU 1978! Apakah yang berlaku pada masa tersebut yang menyebabkan PAS hilang kuasa pada pilihan raya 1978? Adakah dengan kekuatan yang ada pada BN semata-mata ataupun berlaku kelemahan yang nyata pada PAS? Jawapan yang kedua adalah lebih dominan yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PAS. Titik tolak bermula apabila berlaku ‘perang dingin' dalam PAS setelah Muhammad Nasir dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan mengenepikan Wan Ismail Ibrahim yang menjadi calon pilihan utama PAS. Muhammad Nasir dilihat bukan daripada kem Mohd. Asri Muda yang merupakan Yang Dipertua PAS Pusat dan tidak mendapat perhatian utama daripada PAS Kelantan.
Walaupun
Muhammad Nasir adalah Menteri Besar Kelantan namun beliau tidak
dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan. Beliau hanya berkuasa dalam
pentadbiran kerajaan negeri tetapi tidak berkuasa dalam partinya
sendiri. Secara halusnya, Muhammad Nasir dijauhkan dalam pentadbiran PAS
sedangkan pada masa yang sama beliau harus menunaikan tanggungjawabnya
sebagai Menteri Besar kepada rakyat Kelantan. Setelah itu berlaku
peristiwa demi peristiwa sehinggakan DUN Kelantan mengemukakan usul undi
tidak percaya kepada Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan pada
bulan Oktober 1977. Rentatan itu berlaku rusuhan di Kelantan
menyebabkan kerajaan Pusat mengisytiharkan darurat dan kesan yang paling
besar adalah tersingkirnya PAS daripada BN. Setelah itu berlaku PRU tahun 1978 dan Muhammad Nasir yang disingkirkan daripada PAS telah menubuhkan parti BERJASA untuk berhadapan secara langsung dengan PAS. Secara nyatanya ini akan meninggalkan UMNO tanpa disaingi oleh parti-parti utama dalam pilihan raya tahun tersebut. Namun begitu, BERJASA belum lagi diserap sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada komponen BN. Dalam pilihan raya 1978, BERJASA bertanding di 25 kawasan DUN dan bertembung satu sama satu dengan PAS di 11 kawasan DUN. Agak menarik kerana 11 kawasan tersebut merupakan kubu kuat PAS seperti Simpangan, Kemumin, Sering, Tendong, Meranti, Kubang Kerian, Tawang, Perupok, Lemal, Salor dan Peringat. Dalam PRU 1978 juga berlaku pertandingan tiga dan empat penjuru yang melibatkan BN, BERJASA, PAS dan Bebas di 16 kerusi DUN yang kesemua parti mempunyai peluang yang sama rata untuk menang kecuali Bebas yang dikira tidak mempunyai peluang untuk menang. Pertandingan sebenar akan berlaku di antara PAS dan BERJASA yang menyebabkan undi akan terbahagi kepada dua parti tersebut. Ini meninggalkan UMNO untuk meraih undi yang lebih tinggi berbanding PAS dan BERJASA. Selain itu, UMNO telah berhadapan satu lawan satu dengan PAS di sembilan buah kerusi DUN yang dikatakan selamat untuk UMNO iaitu Sungai Pinang, Wakaf Baharu, Sungai Keladi, Jelawat, Gual Periuk, Ketereh, Pahi, Gua Musang dan Manek Urai. Perkiraan awal adalah BERJASA akan menang di 11 buah kerusi, UMNO akan menguasai lebih 20 kerusi sementara selebihnya akan dimenangi oleh PAS. Ini menyebabkan UMNO akan mempunyai paling banyak kerusi dan akan membentuk kerajaan di Kelantan dibantu oleh BERJASA. UMNO juga boleh melantik Menteri Besar Kelantan dalam kalangan ahli mereka dan mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir Kelantan.
Keputusan
sebenar pilihan raya DUN pada 11 Mac 1978, memperlihatkan UMNO/BN telah
menang di 23 kerusi DUN (termasuk seorang calon MCA) daripada 24 kerusi
yang mereka tandingi sementara PAS hanya menang di dua kerusi
berbanding 36 kerusi yang mereka tandingi. Bagi BERJASA, mereka menang
di 11 buah kerusi daripada 25 kerusi yang ditandingi. Keputusan pilihan
raya ini menepati startegi yang dirancang oleh UMNO. PAS berjaya
dikalahkan oleh UMNO dengan bantuan BERJASA dan pada masa yang sama juga
BERJASA tidak dapat membentuk kerajaan di Kelantan kerana tidak
mempunyai bilangan kerusi majoriti. Sebaliknya UMNO yang mempunyai
bilangan kerusi majoriti dapat membentuk kerajaan Kelantan dan bermula
pemerintahan UMNO di Kelantan buat pertama kali semenjak negara mencapai
kemerdekaan. Pihak yang untung adalah UMNO manakala kedua-kedua parti
PAS dan BERJASA hanya setakat memenuhi kouta ahli DUN Kelantan sahaja.
Umumnya sokongan rakyat Kelantan yang majoritinya etnik Melayu adalah
samada kepada dua parti Melayu yang paling signifikan iaitu UMNO dan
PAS. Salah satu parti menghadapi konflik dan krisis dalaman akan
mengakibatkan parti satu lagi mendapat kejayaan. Ini dibuktikan pada PRU
1978 di Kelantan.Mengapa pula kerajaan UMNO/BN telah kalah dalam PRU 1990? Sekali lagi diakibatkan oleh krisis dalaman yang pada kali ini berlaku dalam UMNO. Tengku Razaleigh yang merupakan pemimpin UMNO Kelatan telah mencabar Mahathir Mohammad dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987. Keputusan Tengku Razaleigh ini telah menambahkan kekusutan UMNO Kelantan. Keputusan beliau ini mendapat sokongan penuh sebahagian besar Ketua UMNO Bahagian di Kelantan yang juga membuktikan beliau masih lagi berpengaruh dalam UMNO negeri. Ini meletakan Menteri Besar Kelantan pada masa tersebut, Mohammad Yaakob dalam dilemma kerana sekiranya beliau menyokong Tengku Razaleigh secara langung akan membawa maksud beliau menentang kepimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohammad yang melantik beliau sebagai Menteri Besar Kelantan. Sokongan kepada Perdana Menteri juga bermakna beliau memilih untuk berlainan pendapat dengan sebahagian besar Ketua Bahagian UMNO Kelantan. Malangnya pilihan Mohammad Yaakub untuk menyebelahi Mahathir telah meletakan beliau dalam keadaan tertekan apabila telah kehilangan sokongan dan perasaan hormat ahli-ahli UMNO Kelantan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Tengku Razaleigh kalah dalam pemilihan tersebut dan sebahagian kemarahan tersebut dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh Mohammad Yaakub.
Dengan kekalahan ini, Tengku Razaleigh telah membuat keputusan keluar daripada UMNO. Beberapa orang pengikut Tengku Razaleigh yang tidak berpuashati dengan keputusan pemilihan UMNO pada tahun 1987 ini telah mencabar perkara tersebut di mahkamah yang membuat keputusan kontroversi pengharaman parti UMNO. Mahathir pula telah mengambil langkah untuk mendaftarkan semula UMNO yang kemudiannya di kenali sebagai UMNO (Baru). Sebaliknya Tengku Razaleigh pula telah mengusahakan penubuhan parti baru yang di namakan sebagai Parti Melayu Semangat 46 (S46). Dengan ini UMNO Kelantan telah berpecah kepada dua kumpulan, UMNO (Baru) diketuai oleh Mohammad Yaakub sementara S46 dipimpin oleh Tengku Razaleigh.
Apakah situasi kerajaan PAS Kelantan sekarang? Makin stabil, bertambah kuat ataupun telah mula kelihatan bibit-bibit keretakan yang akan menjadi bertambah runcing daripada masa ke semasa? Apakah ahli dan pemimpin PAS tidak mahu mengambil pengajaran selepas daripada PRU 1974 yang lalu? PAS masih lagi memerintah Kelantan selepas PRU 1974 namun hanya empat tahun selepas itu pada PRU 1978, PAS telah hilang kuasa. Adakah dalam tempoh masa yang sama iaitu empat tahun selepas daripada PRU ke-13, 2013 iaitu tahun 2017 dalam PRU ke-14, PAS akan kehilangan kuasa pemerintahan di Kelantan? Pihak manakah yang akan mengambil pengajaran daripada sejarah sosio-politik pilihan raya lampau di Kelantan?
Abu Mujtahid
Kuala Lumpur
Peminat politik Kelantan
21 Ogos 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan