Oleh
Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
www.zaharuddin.net
Soalan untuk ruangan Soal Jawab BH Ahad:
1. Baru-baru ini Setiausaha Agung DAP dalam perutusan Hari Krismas ada membuat kenyataan menggesa kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Apa pandangan Dr berhubung tuntutan itu?
Dalam
banyak keadaan, orang politik sering mensasarkan sokongan pengundi
dalam apa sahaja yang diseru, gesa dan desak. Dalam hal ini saya
merasakan Lim Guan Eng juga mungkin sedang mensasarkan sokongan penganut
Kristian terhadap parti itu. Sama ada betul atau tidak, saya merasakan
tindakan tersebut mungkin kurang tepat, malah pada jangkaan saya, ia
lebih mampu menyusahkan gabungan Pakatan Rakyat dan PAS khususnya serta
mengurangkan sangka baik orang Melayu Islam terhadap DAP. Tidak saya
nafikan, Barisan Nasional juga adakalanya berkata-kata atau melakukan
beberapa tindakan yang boleh melampaui sensitiviti umat Islam. Justeru
saya nasihatkan lebih baik agar Barisan Nasional tidak menyahut saranan
ini semata-mata inin memenangi undi penganut Kristian, kerana orang
Kristian sendiri ada yang menolak pendekatan terjemahan God kepada
Allah. Jika BN tunduk kepada desakan beberapa kumpulan Kristian ini,
saya menjangkakan ia bakal memberi kesan yang buruk pula kepada BN
khususnya sokongan Melayu Islam. Selain itu bagi saya, pemuka Kristian
tidak perlulah memperjuangkan isu nama Allah sama ada dalam terjemahan
Bible versi Bahasa Melayu atau mana-mana bahan bercetak yang dikeluarkan
oleh pihak Kristian. Mungkin yang lebih penting adalah menjaga
kebajikan penganutnya dari sudut kebajikan fizikal khususnya. Manakala
kebajikan berbentuk ‘spiritual’ boleh di laksanakan dengan menambah
bajet atau apa-apa sahaja yang tidak perlu melampaui sensitiviti agama
lain. Terjemahan ‘God’ yang sekian lama diterjemahn kepada tuhan,
tiba-tiba ingin diubah kepada nama Allah tentunya melampaui garisan
agama Islam. Pastinya ia bakal menimbulkan reaksi negatif umat Islam.
2.
Dalam kenyataan mengenai isu kalimah Allah pada 2009, Dr ada menyatakan
mengenai persetujuan kalimah Allah digunakan oleh Kristian tetapi
melihat kepada fenomena di Malaysia, Dr beranggapan ia tidak sesuai.
Boleh jelaskan lebih lanjut kerana memang ada pihak yang turut bersetuju
membenarkan agama lain menggunakan kalimah Allah dengan alasan Allah
untuk semua makhluk. (mungkin Dr boleh bagi nas yang tidak dapat diargue
oleh pihak lain)
Benar,
pandangan peribadi saya setelah melihat hampir semua hujjah-hujjah yang
dibentangkan oleh para ulama silam dan semasa, saya lihat ia adalah
‘valid’. Namun ia tetap jatuh dalam kategori hukum yang boleh berubah
mengikut keadaan dan setempat. Hal hukum haram yang berubah menjadi
harus, harus berubah menjadi haram disebabkan situasi tertentu ini
adalah sesuatu yang boleh berlaku malah kerap berlaku sejak dari zaman
Baginda Nabi Muhammad lagi. Namun ia mestilah setelah meneliti
syarat-syaratnya yang termaktub di dalam perbahasan ulama Usul Fiqh.
Satu kaedah fiqh menyebut :
“Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). (Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)
Ulama
silam seperti imam Ibn Qayyim dan ulama kontemporari Syeikh Dr. Mustafa
Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam
hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum
Islam tidak boleh berubah. Dalam hal ini, bab penggunaan nama Allah ini
adalah dalam kategori isu cabang. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah
Al-Muslimun, hlm 553 )
Ibn Qayyim dalam kitabnya ‘ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu :-
• Tempat
• Masa
• ‘Uruf
• Situasi atau keadaan
• Niat
Dari sudut sebab mengapa hukum terbabit tidak sesuai di semenanjung Malaysia antaranya adalah :-
1.
Keputusan pemerintah dalam hal yang diperbezakan adalah terpakai. Telah
diketahui dalam kaedah Fiqh, “Pemerintah yang bertindak dan membuat
keputusan untuk rakyat MESTILAH berlandaskan kepentingan awam”. Maka
saya kira, apabila pemerintah Malaysia berdasarkan data dan fakta yang
mereka miliki menyakini kebenaran di Malaysia bakal menyuburkan
kemurtadan dan kekeliruan khususnya di musim kelemahan umat Islam, itu
patut diterima oleh ilmuwan lain walau mungkin mereka mempunyai idea dan
pandangan berbeza.
2.
Malaysia sering dilanda kontroversi apabila undang-undang sedia ada
digunakan dalam beberapa kes bagi seseorang Islam murtad dengan bantuan
orang bukan Islam. Demikian isu kematian individu yang telah memeluk
Islam tetapi tanpa pengetahuan keluarganya dan beberapa yang lain. Kerap
kali isu sebegini apabila ditimbulkan di dalam masyarakat, suasana
menjadi tegang di antara agama. Ini tidak baik bagi keharmonian
masyarakat dan mudah mencetus ketegangan yang sukar diredakan kelak.
Justeru, hal yang tidak signifikan dalam agama Kristian sendiri seperti
terjemahan ‘God’ kepada ‘Allah’ bagi Bible bahasa melayu ini tidak
berbaloi atau ‘worth it’ untuk diketengahkan dan disebut oleh pemimpin
Politik seperti Lim Guan Eng. Malah media juga patut berhati-hati dan
menghindarkan diri dari asyik menjolok dan memanaskan isu sebegini. Atas
sebab itu, saya cenderung kepada mengekalkan terjemahan kepada TUHAN
adalah lebih baik berbanding mengubah kebiasaan yang sudah diamalkan
sejak turun temurun di semenanjung Malaysia. Hal di Sabah Sarawak, itu
hal mereka di sana sejak berpuluh tahun lepas, mengapa perlu dibawa ke
semenanjung?. Suasana penduduk dan sensitiviti masyarakat yang berbeza
di sana dan di semenanjung patut dijaga.
3. Isu ini turut menimbulkan ketakutan dalam kalangan umat Islam khususnya yang memikirkan mengenai kesan negatif terutama dalam keadaan generasi muda hari ini yang agak lemah dan cetek mengenai ilmu agama. Mungkin Dr boleh tekankan aspek ini kerana kerisauan itu rasanya ada kewajarannya. Ini membabitkan hal akidah umat Islam yang terancam jika isu kalimah Allah tidak ditangani dengan berkesan.
Pertamanya,
perlu difahami, dari sudut hukum asal, Kristian memang harus
menggunakan nama Allah sebagai tuhan mereka, Cuma kita sebutkan dari
sudut hak pemerintah untuk menyekat demi menjaga keharmonian Islam di
tanahair ini. Pun begitu, umat Islam sendiri tidak boleh hanya
marah-marah apabila isu ini timbul, mereka juga patutnya sedar jika
mereka kuat, tiada bimbang lagi takut jikapun pihak Kristian menggunakan
nama Allah bagi terjemahan God. Tapi yang tidak bagusnya hari ini
adalah orang Islam kelihatan berlebihan marahnya dalam hal ini tetapi
sensivitinya kelihatan pudar dalam isu yang lebih besar atau setara
besarnya. Seperti isu penghinaan kepada Islam, hukum Islam (bukan hudud
sahaja tetapi hukum dalam semua bab seperti perkahwinan dan lain-lain),
penghinaan Nabi secara terangan yang dibuat oleh orang Islam sendiri
melalaui kata-kata dan filem sebagai contoh. Saya faham dan sedar, umat
Islam semakin bimbang kerana anak-anak kita mungkin lemah pendidikan dan
penghayatan Islamnya, malah ibubapa juga lemah agamanya. Justeru,
dengan kerancakkan menggunakan nama Allah bagi God di dalam Bible, ia
mungkin bakal memeriahkan kekeliruan di kalangan yang sudah jahil di
kalangan Islam hingga akhirnya mudah mereka dimurtadkan.
Dalam
hal ini, saya menyeru diri saya dan semua pembaca agar memastikan diri
sendiri mantap dari sudut ilmu agama, mengambil tokoh sahabat-sahabat
Nabi dan ilmuwan Islam yang silam dan kontemporari sebagai bahan
rujukan, bacaan dan cerita tauladan. Bukannya sambil berteriak memarahi
Lim Guan Eng, tetapi melupakan fakta bahawa diri sendiri, rakan sebangsa
dan seagama lebih patut diherdik kerana lebih teruk lagi menjauhkan
umat dari penghayatan Islam dan aqidah Islam. Iaitu dengan mengasaskan
insititusi riba, judi, menjadikan rasuah sebagai adat bisnes, menjadikan
perbomohan syirik sebagai perubatan alternatif dan tradisional,
menjadikan adat yang berunsur syirik sebagai bahan adat perkahwinan
melayu dan lain-lain. Mengapa ini tidak diherdik dan dimarahi dengan
setimpal? Justeru, jangan hanya kerana ia gesaan seorang orang politik
maka kita tiba-tiba menjadi ‘super sensitif’ dan marah, namun melupakan
diri dan pekung yang dicetus oleh bangsa sendiri.
4.
Namun, ibarat menarik rambut dalam tepung, kita juga tidak mahu isu ini
menjejaskan hubungan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini terutama
umat Islam dan penganut Kristian. Jadi bagaimana kita hendak pastikan
sensitiviti umat Islam di hormati penganut agama lain?
Itulah
saya katakan, media janganlah terlalu membesar-besarkan sangat, kerana
kelak penganut Kristian merasa umat Islam terlalu ego dan sombong.
Jangan pula memaki hamun dan mencaci kerana Islam tidak tertegak dengan
caian dan humanan. Malah Nabi Muhammad mengajar kita akhlak mulia dan
daya tahan marah yang luar biasa, hingga kalau dicerca dan dihamun, kita
tidak membalas dengan cercaan. Ini tercatat di dalam surah Al-Imran
ayat yang ke 186, Surah Al-Hijr ayat 97-98 dan banyak lagi. Hanya bila
hak kita dicerobohi secara fizikal khususnya, barulah umat Islam
dituntut untuk mempertahankannya dengan kaedah yang sesuai walau mungkin
agresif dan keras, seperti rumah, harta atau tanahair kita dicerobohi.
Umat
Islam perlu faham isu ‘core’ atau ‘susbstance’ dalam agama lain agar
mereka tidak menimbulkan ketegangan yang merugikan. Namun isu nama Allah
ini bukan isu core dalam Kristian dan ia dianggap isu besar bagi umat
Islam di semenanjung. Hanya dengan saling berdiskusi dan berdialog, saya
kira ketegangan ini dapat dikurangkan.
5.
Ada pihak menyatakan isu ini boleh menimbulkan suasana Kristianofobia.
Adakah senario dalam negara hari ini boleh mencetuskan fenomena itu?
(Kristianafobia diutarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan
Ilmuan Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya yang mendakwa
Kritianofobia adalah perasaan takut terhadap agama Kristian yang sekali
gus mampu menggugat agama Islam sebagai agama rasmi). Apa pandangan Dr?
Saya
tidak pasti, namun yang jelasnya Kristian adalah sebuah agama
missionary iaitu yang sentiasa aktif mencari penganut baru. Ia sama
seperti sifat agama Islam yang juga bersifat missionary. Berkenaan
kristianofobia, memang ada asasnya berdasarkan kes-kes kemurtadan dan
teknik dakyah yang sedang dan telah dilakukan oleh Kristian. Cuma untuk
bimbang sehingga merasakan Islam agama rasmi diubah, saya tidak pasti
basis kebimbangan sebegitu. Saya tidak punyai statistik yang boleh
membantu saya menentukan pendirian yang adil dalam hal ini.
6.
Apa nasihat Dr kepada umat dan agensi Islam di negara ini bagi
menghadapi isu berkaitan kalimah Allah ini dan juga isu lain yang
menyentuh sensitiviti umat Islam?
Nasihat
saya, perkukuhkan ilmu dan penghayatan Islam diri dan keluarga
masing-masing. Mantapkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti oleh
institusi ulama dan jabatan-jabatan yang menguruskan hal ehwal
pembangunan agama Islam. Media hendaklah membantu menjadikan mana-mana
tokoh ilmuwan Islam sebagai role model dan bukan artis. Hiburan dan
budaya hedonisme tanpa objektif kecuali duit dan seronok patut dikaji
semula dari diberi ruang terlalu banyak di media kerana bagi saya ia
lebih banyak merosakkan umat Islam berbanding kalaupun Kristian
menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible mereka. Kerana Bible-bible
ini tidak masuk ke rumah majoriti umat Islam tetapi TV, radio dan media
cetak masuk dan mempengaruhi setiap hari. Jika itu dapat dilakukan,
apapun dakyah, gerakan Kristianisasi termasuklah isu berkaitan nama
Allah akan sentiasa terkawal dan tidak dapat menembusi daya tahan umat
Islam. Jangka terdekat pula, saya harapkan para ulama dapat sepakat
menghalang penggunaan nama Allah bagi terjemahan God di dalam bible
versi Melayu, manakala orang Kristian pula sedari mereka tiada perlukan
teknik ini untuk menyebar dakyah mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan