“kegagalan adalah kejayaan yang tertangguh, orang yang berhasil adalah orang yang mampu melewati seribu kegagalan, sukses tidak datang dari apa yang diberikan oleh orang lain, tapi datang dari keyakinan dan kerja keras kita sendiri, guru terbaik adalah kesalahan terakhir yang kita lakukan”

“Kita selalu lupa jalan pulang, dari mana kita datang,
dimana kita sekarang, kemana kita akan pergi, mengambil yang sementara meninggal yang
kekal, hidup adalah persinggahan dalam menuju ke distinasi yang kekal abadi”

Selasa, 27 Ogos 2013

Mampukah Pas Pertahan Kelantan Pada PRU 14


Kontra Artikel Bunyinya agak menakutkan tetapi adalah malang bagi PAS yang telah memerintah dan mentadbir Kelantan semenjak PRU 1990 lagi iaitu lebih kurang 23 tahun yang lepas sekiranya topik ini menjadi berita utama akhbar sehari selepas PRU ke-14 negara. PAS seharusnya tidak melupakan sikap dan kelakuan pengundian rakyat Kelantan yang unik dan tersendiri dalam memilih parti yang akan mentadbir mereka.

Jika disoroti daripada perspektif sejarah, rakyat Kelantan telah memilih PAS semasa PRU 1959 lagi. PRU yang pertama setelah negara mencapai kemerdekaan tatkala hampir keseluruhan rakyat di negeri-negeri lain (kecuali Terengganu) memilih Perikatan sebagai kerajaan negeri. Rakyat Kelantan sanggup menjadikan PAS sebagai kerajaan negeri walaupun menyedari aspek pemodenan, kemajuan negeri, kesejahteraan rakyat melalui projek pembangunan seharusnya menjadi keutamaan pada masa tersebut.

PAS terus memerintah Kelantan selepas PRU 1964, 1969, 1974 (menyertai BN) namun tewas pada PRU 1978! Apakah yang berlaku pada masa tersebut yang menyebabkan PAS hilang kuasa pada pilihan raya 1978? Adakah dengan kekuatan yang ada pada BN semata-mata ataupun berlaku kelemahan yang nyata pada PAS? Jawapan yang kedua adalah lebih dominan yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PAS. Titik tolak bermula apabila berlaku ‘perang dingin' dalam PAS setelah Muhammad Nasir dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan mengenepikan Wan Ismail Ibrahim yang menjadi calon pilihan utama PAS. Muhammad Nasir dilihat bukan daripada kem Mohd. Asri Muda yang merupakan Yang Dipertua PAS Pusat dan tidak mendapat perhatian utama daripada PAS Kelantan.

Walaupun Muhammad Nasir adalah Menteri Besar Kelantan namun beliau tidak dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan. Beliau hanya berkuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri tetapi tidak berkuasa dalam partinya sendiri. Secara halusnya, Muhammad Nasir dijauhkan dalam pentadbiran PAS sedangkan pada masa yang sama beliau harus menunaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar kepada rakyat Kelantan. Setelah itu berlaku peristiwa demi peristiwa sehinggakan DUN Kelantan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan pada bulan Oktober 1977. Rentatan itu berlaku rusuhan di Kelantan menyebabkan kerajaan Pusat mengisytiharkan darurat dan kesan yang paling besar adalah tersingkirnya PAS daripada BN.


Setelah itu berlaku PRU tahun 1978 dan Muhammad Nasir yang disingkirkan daripada PAS telah menubuhkan parti BERJASA untuk berhadapan secara langsung dengan PAS. Secara nyatanya ini akan meninggalkan UMNO tanpa disaingi oleh parti-parti utama dalam pilihan raya tahun tersebut. Namun begitu, BERJASA belum lagi diserap sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada komponen BN. Dalam pilihan raya 1978, BERJASA bertanding di 25 kawasan DUN dan bertembung satu sama satu dengan PAS di 11 kawasan DUN. Agak menarik kerana 11 kawasan tersebut merupakan kubu kuat PAS seperti Simpangan, Kemumin, Sering, Tendong, Meranti, Kubang Kerian, Tawang, Perupok, Lemal, Salor dan Peringat. Dalam PRU 1978 juga berlaku pertandingan tiga dan empat penjuru yang melibatkan BN, BERJASA, PAS dan Bebas di 16 kerusi DUN yang kesemua parti mempunyai peluang yang sama rata untuk menang kecuali Bebas yang dikira tidak mempunyai peluang untuk menang. Pertandingan sebenar akan berlaku di antara PAS dan BERJASA yang menyebabkan undi akan terbahagi kepada dua parti tersebut. Ini meninggalkan UMNO untuk meraih undi yang lebih tinggi berbanding PAS dan BERJASA. Selain itu, UMNO telah berhadapan satu lawan satu dengan PAS di sembilan buah kerusi DUN yang dikatakan selamat untuk UMNO iaitu Sungai Pinang, Wakaf Baharu, Sungai Keladi, Jelawat, Gual Periuk, Ketereh, Pahi, Gua Musang dan Manek Urai. Perkiraan awal adalah BERJASA akan menang di 11 buah kerusi, UMNO akan menguasai lebih 20 kerusi sementara selebihnya akan dimenangi oleh PAS. Ini menyebabkan UMNO akan mempunyai paling banyak kerusi dan akan membentuk kerajaan di Kelantan dibantu oleh BERJASA. UMNO juga boleh melantik Menteri Besar Kelantan dalam kalangan ahli mereka dan mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir Kelantan.

Keputusan sebenar pilihan raya DUN pada 11 Mac 1978, memperlihatkan UMNO/BN telah menang di 23 kerusi DUN (termasuk seorang calon MCA) daripada 24 kerusi yang mereka tandingi sementara PAS hanya menang di dua kerusi berbanding 36 kerusi yang mereka tandingi. Bagi BERJASA, mereka menang di 11 buah kerusi daripada 25 kerusi yang ditandingi. Keputusan pilihan raya ini menepati startegi yang dirancang oleh UMNO. PAS berjaya dikalahkan oleh UMNO dengan bantuan BERJASA dan pada masa yang sama juga BERJASA tidak dapat membentuk kerajaan di Kelantan kerana tidak mempunyai bilangan kerusi majoriti. Sebaliknya UMNO yang mempunyai bilangan kerusi majoriti dapat membentuk kerajaan Kelantan dan bermula pemerintahan UMNO di Kelantan buat pertama kali semenjak negara mencapai kemerdekaan. Pihak yang untung adalah UMNO manakala kedua-kedua parti PAS dan BERJASA hanya setakat memenuhi kouta ahli DUN Kelantan sahaja. Umumnya sokongan rakyat Kelantan yang majoritinya etnik Melayu adalah samada kepada dua parti Melayu yang paling signifikan iaitu UMNO dan PAS. Salah satu parti menghadapi konflik dan krisis dalaman akan mengakibatkan parti satu lagi mendapat kejayaan. Ini dibuktikan pada PRU 1978 di Kelantan.

Mengapa pula kerajaan UMNO/BN telah kalah dalam PRU 1990? Sekali lagi diakibatkan oleh krisis dalaman yang pada kali ini berlaku dalam UMNO. Tengku Razaleigh yang merupakan pemimpin UMNO Kelatan telah mencabar Mahathir Mohammad dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987. Keputusan Tengku Razaleigh ini telah menambahkan kekusutan UMNO Kelantan. Keputusan beliau ini mendapat sokongan penuh sebahagian besar Ketua UMNO Bahagian di Kelantan yang juga membuktikan beliau masih lagi berpengaruh dalam UMNO negeri. Ini meletakan Menteri Besar Kelantan pada masa tersebut, Mohammad Yaakob dalam dilemma kerana sekiranya beliau menyokong Tengku Razaleigh secara langung akan membawa maksud beliau menentang kepimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohammad yang melantik beliau sebagai Menteri Besar Kelantan. Sokongan kepada Perdana Menteri juga bermakna beliau memilih untuk berlainan pendapat dengan sebahagian besar Ketua Bahagian UMNO Kelantan. Malangnya pilihan Mohammad Yaakub untuk menyebelahi Mahathir telah meletakan beliau dalam keadaan tertekan apabila telah kehilangan sokongan dan perasaan hormat ahli-ahli UMNO Kelantan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Tengku Razaleigh kalah dalam pemilihan tersebut dan sebahagian kemarahan tersebut dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh Mohammad Yaakub.

Dengan kekalahan ini, Tengku Razaleigh telah membuat keputusan keluar daripada UMNO. Beberapa orang pengikut Tengku Razaleigh yang tidak berpuashati dengan keputusan pemilihan UMNO pada tahun 1987 ini telah mencabar perkara tersebut di mahkamah yang membuat keputusan kontroversi pengharaman parti UMNO. Mahathir pula telah mengambil langkah untuk mendaftarkan semula UMNO yang kemudiannya di kenali sebagai UMNO (Baru). Sebaliknya Tengku Razaleigh pula telah mengusahakan penubuhan parti baru yang di namakan sebagai Parti Melayu Semangat 46 (S46). Dengan ini UMNO Kelantan telah berpecah kepada dua kumpulan, UMNO (Baru) diketuai oleh Mohammad Yaakub sementara S46 dipimpin oleh Tengku Razaleigh.

Penubuhan parti S46 telah memulakan episod baru dalam politik negara khususnya di Kelantan. Dengan kedudukan parti tersebut yang berada di luar BN dan menjadi parti pembangkang, kedudukan kerajaan UMNO Kelantan berada dalam bahaya. Tambahan pula dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas pilihan raya 1986 dan peristiwa pemilihan UMNO 1987, S46 sudah mula mengadakan persefahaman dengan PAS. Kerjasama ini disambut baik oleh PAS termasuk PAS Kelantan yang tidak dipengaruhi oleh sentimen anti Tengku Razaleigh yang juga merupakan pendukung utama kekalahan PAS di Kelantan pada pilihan raya 1978 yang lalu. Seterusnya kerjasama ini membuahkan hasil apabila terbentuk gabungan politik Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang disertai bersama oleh PAS, S46, BERJASA dan HAMIM. Pembentukan pakatan politik APU ini menyebabkan UMNO bersendirian setelah BERJASA dan HAMIM bertindak keluar daripada komponen BN. Secara moralnya UMNO telah kehilangan sokongan dan sebaliknya sokongan bertumpu kepada APU. Dalam keadaan yang demikian berlangsung pilihan raya 1990. BN/UMNO telah meletakan calon bagi 39 kerusi DUN dan buat pertama kali APU menyertai pilihan raya dengan PAS bertanding 24 kerusi, S46 meletakan calon di 14 kerusi dan BERJASA bertanding untuk satu kerusi sahaja. Dalam PRU 1990 ini, BN/UMNO telah kalah di kesemua kerusi DUN yang mereka tandingi sebaliknya PAS menang di 24 kerusi, diikuti S46 menguasai 14 kerusi dan BERJASA menang di satu kerusi tunggal yang mereka tandingi. Dengan keputusan ini maka berakhir tampuk pemerintahan UMNO di Kelantan setelah berkuasa selama 12 tahun dan pentadbiran Kelantan dikuasai semula oleh PAS yang menjadi teraju utama dalam APU. Jelasnya UMNO juga mengakhiri tempoh pemerintahan mereka di Kelantan atas sebab dan alasan yang sama iaitu perpecahan dan konflik dalaman yang berlaku dalam .parti

Apakah situasi kerajaan PAS Kelantan sekarang? Makin stabil, bertambah kuat ataupun telah mula kelihatan bibit-bibit keretakan yang akan menjadi bertambah runcing daripada masa ke semasa? Apakah ahli dan pemimpin PAS tidak mahu mengambil pengajaran selepas daripada PRU 1974 yang lalu? PAS masih lagi memerintah Kelantan selepas PRU 1974 namun hanya empat tahun selepas itu pada PRU 1978, PAS telah hilang kuasa. Adakah dalam tempoh masa yang sama iaitu empat tahun selepas daripada PRU ke-13, 2013 iaitu tahun 2017 dalam PRU ke-14, PAS akan kehilangan kuasa pemerintahan di Kelantan? Pihak manakah yang akan mengambil pengajaran daripada sejarah sosio-politik pilihan raya lampau di Kelantan?


Abu Mujtahid
Kuala Lumpur
Peminat politik Kelantan
21 Ogos 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan