Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
1.
Dr. Muhammad Morsi adalah Presiden Mesir yang sah melalui pilihanraya
presiden yang dijalankan secara demokratik pada 24 Jun 2012. Justeru
tindakan menjatuhkannya secara revolusi jalanan BUKANLAH CARA YANG
BETUL, khususnya bagi seorang pemimpin yang baru hanya 1 tahun berkuasa.
Berikan masa dan berdiskusi lebih tepat bagi mereka yang tidak
bersetuju dan pengkritik.
2.
Sepanjang setahun beliau sebagai Presiden, beliau tidak mendapat
sokongan penuh dari pihak tentera, polis dan pelbagai kakitangan
kerajaan. Ini menjadikan perubahan yang dirancang sangat lambat dan
kelihatan kurang berjaya. Selain itu, tempoh setahun terlalu pendek
untuk membersihkan kekalutan ekonomi dan minda selama 30 tahun yang
ditinggalkan oleh Hosni Mubarak.
3.
Saya melihat, sifat dan sikap rakyat Mesir yang kelihatan terlalu
banyak berpuak dan membantah, keadaan ini sememangnya memerlukan satu
jenis undang-undang ala 'diktator' (tapi bukan diktator cuma tegas) dari
pemimpin yang BAIK atas sifat AMANAH DAN BUKAN KEPENTINGAN DIRI bagi
menyatu dan mengurangkan masalah administrasi khususnya di awal-awal
pemerintahan. Justeru, rang undang-undang yang memberi Presiden kuasa
penuh yang kontroversi pada hujung November 2012 itu adalah perlu dan
tidak patut dianggap sebagai keaiban kepimpinan Morsi.
4.
Tindakan tentera yang merampas kuasa dengan sokongan Sheikhul Azhar dan
Coptic Pope Tawadros tidak secara demokratik bakal menyaksikan masa
hadapan Mesir semakin suram dan tidak pasti. Kelak nanti Presiden baru
bakal menjadi boneka tentera yang mana kiranya tidak disetujui, maka
akan dirampas lagi oleh tentera. Mungkin tindakan terbaik adalah
Presiden baru perlu ‘revamp’ tentera agar senjata mereka tidak
menjadikan mereka mencarik keputusan rakyat majoriti.
5.
Tindakan rakyat awam Mesir yang mengadakan revolusi jalanan dan
bergembira atas kejatuhan Dr. Morsi adalah pelik dan kurang matang pada
hemat saya. Masakan tidak, sedang mereka bergembira dan merayakannya,
adakah mereka sedar dan tahu siapa yang bakal menjadi pemimpin terbaru
mereka?, bilakah tarikh pemilihannya ? adakah mudah menaikkan pemimpina
kesukaan mereka untuk diterima semua pendemonastrasi dan puak-puak?
malah mungkin sebahagian besar mereka langsung tidak mempunyai idea
siapakah calon yang paling layak. Apakah tindakan mereka ini lebih
membantu menstabilkan Mesir atau mengoyahkannya semula? Dan lebih teruk,
tindakan ini memberi kesan kepada kemaslahatan rakyat Palestin.
6.
Saya bersetuju dengan tindakan Kerajaan Turki yang TIDAK MENGIKTIRAF
kerajaan sementara haram Mesir serta tidak berurusan diplomatik kecuali
dengan Presiden Morsi dan wakilnya yang sah sebagai mewakili kerajaan
Mesir. Memang benar, tindakan ini bakal menjejaskan banyak hubungan
ekonomi dan diplomatik antara kedua Negara selepas ini.
7.
Rampasan kuasa Morsi ini lebih jelas disokong oleh pihak barat padahal
mereka sering melaungkan keperluan untuk berpegang kepada Demokrasi,
namun apabila Presiden Mesir dilihat ingin meluaskan agenda Islam dalam
pentadbiran dan membantu Palestin, mereka kini berubah kepada menyokong
rampasan kuasa pula.
8.
Kerajaan Malaysia sepatutnya mengecam rampasan kuasa ala tentera Mesir
ini kerana iktirafan kerajaan Malaysia bakal memberi mesej yang
mengelirukan kepada sebahagian rakyat Malaysia kelak iaitu seolah-olah
Malaysia mengiktiraf kerajaan melalui revolusi jalanan sedangkan tiada
kezaliman nyata dilakukan oleh Morsi yang hanya baru setahun jagung
memerintah.
9.
Menukar pemimpin kerajaan melaui cara revolusi jalanan atau kekerasan
memang lebih banyak membawa mudarat berbanding manfaat. Justeru,
wajarlah ia dijauhi. Perlu difahami, revolusi jalanan menjatuhkan
kerajaan BERBEZA DENGAN DEMONSTRASI AMAN bertujuan menyatakan bantahan
tanpa sebarang perancangan menggulingkan kerajaan seperti di Mesir ini.
Demonstrasi aman (khususnya dengan permit) termasuk dalam hak yang
dibenarkan oleh sistem demokrasi, manakala revolusi bersenjata dan ganas
adalah TIDAK DIBENARKAN.
10. Ini hanyalah pandangan peribadi dan mungkin saya juga boleh tersalah dalam analisa dan penerimaan maklumat. Wallahu’lam.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
www.murshid.my
www.zaharuddin.net
5 Julai 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan