Dr. Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi,
AMP (10 Mei
1896- 13 Oktober 1989) ialah seorang tokoh di dalam bidang persuratan yang
tidak asing lagi bukan sahaja di Nusantara,
malah di Mesir
dan Makkah
terutamanya dalam bidang bahasa Arab, ilmu Hadith, tafsir dan fiqah. Kamus Al-Marbawi, hasil
nukilannya adalah kamus Arab-Melayu yang terunggul sekali di Nusantara sehingga
hari ini.
Riwayat hidup
Syeikh
Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28
Dzulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal dari
Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Ketika berusia 10 tahun,
beliau sudah mampu menghafal kitab suci Al-Quran
sebanyak 16 juzuk, di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1323 Hijrah,
beliau pulang ke Malaysia bersama-sama keluarga.
Sekembalinya
ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau
(kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh
Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya
di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan,
Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah
Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh
Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan).
Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Pada
tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan berjaya
memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama
berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau
menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang
diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali.
Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned
Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua
tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh
Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.
Anugerah dan sumbangan
Atas
sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Idris
dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987,
beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan
yang pertama.
Pada 19
April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak,
Paduka Seri Sultan Azlan
Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari
keputeraan baginda.
Beliau
adalah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan.
Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya.
Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an,
merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu,
sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat
dinafikan lagi.
Bahkan
semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan
terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana
merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau
telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang
tidak habis segayung air.
Sepanjang
hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan
menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja
berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada
beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan
yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk
membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami
di Ipoh,
Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya
serta beberapa orang tenaga pengajar luar.
Meninggal
Walaupun
belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata
Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika
berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital
Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung
Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah
binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau
telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang
cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu
kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.
Bagi
mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di
Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat
beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau
iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh
Mohd Idris Al-Marbawi.
Hasil karya
- Kamus al-Marbawi
- Kitab Bahrul Mazi
- Tafsir Quran Al Marbawi
- Tafsir Surah Yasin
- Tafsir Nurul Yaqin
- Tafsir Fathul Qadir
- Kitab Bulughul Maram
- Kitab Jami'ul Ulum
- Usulul Islam
- Nizamul Hayah
- Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid )
dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan